Sejarah Sekolah

      Penubuhan Sekolah Tuanku Muhammad bermula dengan kelas Bahasa Inggeris yang telah dibuka oleh Encik Pyne, seorang kerani. Kelas ini bertempat di sebuah bangunan lama berhampiran dengan Bangunan Union iaitu Bangunan Syarikat Bas United pada masa ini. Pada tahun 1908, Kuala Pilah English School telah dibuka sebagai sebuah sekolah persendirian. Sekolah ini bertempat di Bangunan Mahkamah di Pejabat Daerah Lama. Kuala Pilah English School ini telah dibiayai oleh seorang dermawan tempatan iaitu mendiang En. Tung Yen. Guru besarnya ketika itu ialah Mr. De Witt.
     Pada tahun 1914, Government English School telah dibuka. Guru besarnya yang pertama ialah Mr. J. W. Moore. Semasa dibuka, pelajar-pelajarnya ialah seramai 21 orang dan sehingga akhir tahun tersebut pelajar-pelajarnya telah meningkat kepada 51 orang. Adalah dipercayai bangunan Government English School ini pernah didiami oleh Martin Lister.

Almarhum Tuanku Muhammad
         
Pada tahun 1918, bangunan baru telah pun siap dibina. Bangunan itu ialah Sekolah Kebangsaan  Kuala Pilah yang pernah digunakan sebagai Pejabat Pendidikan Daerah KPJJ. Pelajar-pelajarnya berpindah ke bangunan baru ini. Guru besarnya ialah En. Nonis. Sekolah ini terus berkembang dan pada tahun 1924, pelajar-pelajarnya telah meningkat kepada 200 orang dengan 6 orang guru. Pada tahun itu juga, pelajar-pelajar sekolah ini telah ditawarkan untuk mengambil Peperiksaan Junior Cambridge.
Pada tahun 1929, bilangan pelajar telah meningkat kepada 331. Pertambahan bilangan pelajar inilah yang membawa kepada pembinaan Sekolah Tuanku  Muhammad yang ada sekarang ini. Tapak bangunan baru ini telah dicadangkan oleh En. Gordon Hall. Dengan itu, terbinalah Sekolah Tuanku Muhammad pada tahun 1930 yang dapat menampung 300 orang pelajar dengan kos binaannya kia-kira $105,995.00.



      Selepas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Tuanku Muhammad pada tahun1933, Government English School ini ditukar namanya kepada Tuanku  Muhammad School bagi memperingati Al-Marhum. Bangunan asrama putera pula telah dibina pada tahun 1938 dan dapat menempatkan kira-kira 26 orang penghuni.
        Semasa pemerintahan Jepun, Tuanku Muhammad School telah digunakan oleh Tentera Jepun. Segala peralatan sekolah, buku-buku teks dan perpustakaan telah dimusnahkan atau dibakar. Adalah dipercayai askar-askar Jepun ini telah menanam mangsa-mangsa yang dibunuh di bahagian belakang asrama. Sementara itu, padang sekolah digunakan untuk menanam sayur-sayuran dan ubi kayu.
    Setelah tamat pemerintahan Jepun, Tuanku Muhammad School dibuka semula pada 7hb. September 1945 dan Mr. Francis menjadi Guru Besarnya. Sekolah Tuanku  Muhammad terus bekembang maju selepas Perang Dunia Kedua. Dalam tahun 1948, bilangan pelajar yang didaftarkan ialah kira-kira 760 orang. Pada tahun yang sama, sekolah rendah iaitu Tuanku Muhammad Primary, sekarang dikenali sebagai Sekolah Rendah Tuanku  Munawir telah dibuka.
          Pada tahun 1951, bangunan tambahan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Pada tahun 1952, bangunan makmal di tepi Jalan Tampin telah dibina. Serentak dengan itu, sekolah Tunku Kurshiah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan untuk menempatkan pelajar perempuan. Dengan itu, Sekolah Tuanku Muhammad menjadi sekolah untuk pelajar lelaki.
       Pada tahun 1953, sebuah lagi blok bangunan telah dibina untuk menempatkan pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan School Certificate iaitu yang pertama di Daerah Kuala Pilah tetapi malangnya tidak ramai pelajar yang berjaya memasuki sekolah ini. Sehingga tahun 1955, bilangan pelajar terus meningkat sehingga 1000 orang. Tahun 1956 merupakan tahun pramerdeka dan terdapat banyak perubahan dalam sistem pendidikan pada masa itu. Sekolah Tuanku Muhammad, untuk kali pertamanya mengadakan Peperiksaan Lower Certificate Of Education (LCE) untuk pelajar-pelajar tingkatan tiga. Dalam pada itu, Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran wajib bagi semua pelajar.
      Pada tahun 1958, kelas-kelas peralihan diadakan untuk membolehkan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah bukan Inggeris untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Pada tahun 1959, pendidikan Vokasional diperkenalkan bersama-sama dengan pembukaan blok seni perusahaan.
        Kedai buku sekolah telah dibuka pada tahun 1970 dan pada tahun yang sama peperiksaan Higher School Certificate (Arts) dimulakan. Pada tahun 1972, bilik-bilik darjah dan makmal-makmal sains tambahan telah dibina untuk mengelakkan daripada mengadakan kelas-kelas sesi petang. Dalam tahun 1974, dua perkara penting telah dicatatkan iaitu pembukaan dewan sekolah yang baru dan permulaan kelas-kelas tingkatan enam sains.
           Gelanggang sukan yang mengandungi gelanggang tennis, bola keranjang, sepak takraw dan bola tampar telah pun dibina dan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Jaafar pada 28 Ogos 1985.
            Sekolah Tuanku Muhammad merupakan satu-satunya sekolah yang terkemuka lagi tertua di daerah Kuala Pilah dan menjadi tumpuan pelajar dari setiap golongan dan peringkat. Ramai bekas pelajar sekolah ini telah berjaya menjadi pemimpin dan pentadbir terkemuka di negara ini. 

Rumah Sukan

Berikut adalah nama-nama rumah sukan yang digunakan di sekolah ini semenjak ditubuhkan sehingga tahun 1983


MUHAMMAD         CHEESEMAN         GURNEY                       GORDON HALL



SENARAI PENGETUA

1914 - 1918                      J.W. MOORE
1918 - 1924                      NONIS
1924 - 1929                      P.K. RAMAN
1929 -1931                       GORDON HALL
1931 - 1934                      E.S. REDFEARN
1934                                 C.W. BLOOMFIELD
1934 - 1935                      E.S. REDFEARN
1935 - 1937                      R.M. YOUNG
1937 - 1940                      G.J. GURNEY
1940 -1945                       J.N. DAVIS
1945 - 1946                      V.M. FRANCIS
1946 - 1948                      G.E.D. LEWIS
1948 - 1949                      F.C.W. EDGE
1949 - 1953                      M. OGLE
1953 -1954                      H.G. CLARKE
1954 - 1955                      N.R. MILLER
1956 - 1957                      F.J.A. RAWCLIFFE
1957 - 1959                      J.A.M.C. CUMISKY
1959 - 1961                      K.G. YOGAM
1961 - 1963                      V. MURUGESU
1963 - 1968                      L. PRITAM SINGH
1968 - 1970                      MAPHOR B. BABA
1970 -1971                        D.S.B. MALAYAPILLAY
1971 - 1976                      WILLIAM JALLEH
1976 - 1978                      ALWI B.HJAHMAD
1978 - 1986                      HJ. MOHD ALI B. JAMIL
1986 - 1993                      DATO’ SUDIN B. KAMARI
1993 - 1994                      HJ. ABDULLAH B. LUDIN
1994 - 1995                      HJ. ZAHlDIN B. HJ. SIDEK
1994 - 1996                      HJ. ZABIDI B. MOHD ARIF
1997                                 EN. YAHYA B. ABD. RAHMAN
1998 - 2000                      HJ. AWALUDDIN B. HJ. MD. SALLEH
2001 -DIS 2001               MOHD YASSIN B. MOHD YUNUS
2002 – 2007                     HJ. BASHIR RIDHA B. HJ. ISMAIL
2007 – 2009                     HJ. MD FIAH B. MAT JAMIN
2009 – 2014                     MUSTAFA B. MOMAMED
2014 - SEKARANG          AZIZAN BIN AZIZ