20 Mac 2014

Mesyuarat Agung PIBG 2014 & Penyerahan Baucar Buku Pra-U

20 MAC - Mesyuarat Agung PIBG ke-39 dan Majlis Penyerahan Baucar Buku Pra-Universiti SMK Tuanku Muhammad telah berlangsung pada jam 3.00 petang tadi.  Upacara perasmian telah disempurnakan oleh YB Dato' Hj Ismail Bin Lasim, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan & Interagasi  Nasional, merangkap ADUN Senaling. Pelajar  yang cemerlang dalam peperiksaan STPM dan SPM 2013 juga turut diraikan dalam majlis ini. Mesyuarat PIBG pula bermula seawal jam 5.00 petang.

Ucapan Perasmian Oleh YB Dato' Hj Ismail Lasim
Antara penerima baucar buku Pra-U
Antara penerima anugerah atlet 
Pelajar terbaik STPM, Ang Shin Yee
Pelajar terbaik STPM, Zuhaili Mokhtar
Antara Penerima Cendera Hati  AJK PIBG
YDP PIBG, Dato Hj Razali memulakan Mesyuarat Agung PIBG

       

Tahniah.. Calon STPM 2013 SMK Tuanku Muhammad

Tahniah kepada calon STPM 2013 yang telah menaikkan pencapaian STPM 2013. Dari 58 orang calon, 51 pelajar mendapat 4P (88%), 4 pelajar mendapat 3P (7%) dan 3 calon mendapat 2P (5%). GPS meningkat dari 2.31 kepada 3.03, peningkatan sebanyak 0.72.  PPD Kuala Pilah mendapat kedudukan terbaik di Negeri Sembilan, sementara pencapaian SMK Tuanku Muhammad adalah terbaik di PPD Kuala Pilah. Dua calon sekolah ini, iaitu Zuhaili Mohktar dan Ang Shin Yee telah mendapat semua A(4.0) dan merupakan antara 20 pelajar terbaik di Negeri Sembilan. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua calon dan guru-guru yang terlibat.


18 Mac 2014

Antara Intipati Kenyataan Media YAB Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Tentang PBS...


Isu-isu pelaksanaan PBS:

Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama berkaitan perlaksanaan pentaksiran sekolah.

Pertama, ialah penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak. 

Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid. 

Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut. 

Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan evidens yang terlalu kompleks. 

Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah.



Isu kedua ialah pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod Transit.

Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.


Ketiga, perekodan prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian (online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.

Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat. 

Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran murid secara offline.

Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah.


PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan (field study) atau kajian kes (case study).  


Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.

Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang selayaknya diterima. 


PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka.


Untuk memastikan PBS yang telah di tambahbaik ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir dan guru-guru.

Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu, KPM juga akan mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan murid.

Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai April 1.